KUALA LUMPUR 14 Feb. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran pegawai kanan serta kenaikan pangkat berkuat kuasa pada 18 Mac depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran terbabit didahului Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Asisten Komisioner Mazlan Othman.
“Beliau akan bertukar jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah (D4) Risikan/Operasi/Rekod, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
“Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Pahang, Deputi Superintenden Azli Mohd. Noor akan bertukar sebagai Ketua Polis Daerah Lipis, Pahang dengan memangku pangkat Superintendan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Asmawati, DSP Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Korporat/Kewangan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Deputi Superintenden Annuar Amri Abdul Muluf pula akan bertukar menjadi Ketua JSJK Kedah dengan memangku pangkat Superintenden.
Tambahnya, Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Pahang, Deputi Superintenden Zainal Omar Mahamud pula akan bertukar jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Rompin, Pahang. – UTUSAN ONLINE










