BESUT 12 Feb. – Lapan pelajar dan 17 guru dari lapan buah sekolah menengah dan sebuah
sekolah rendah sekitar daerah ini menyertai Ekspedisi Gunung Kinabalu Sabah di bawah
Program Pendidikan Luar yang bermula hari ini.
Pelepasan peserta disempurnakan oleh Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Ab. Halim
Hassan dalam satu majlis ringkas di Pejabat Pendidikan Daerah Besut sebelum peserta berlepas
ke Kota Kinabalu, Sabah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.
Penyelaras program, Kamaruzaman Senik berkata, program tersebut merupakan salah satu
aktiviti pendidikan luar untuk guru dan pelajar selain susulan aktiviti serupa selepas pendakian
Gunung Tahan, tahun lalu.
“Ia juga salah satu aktiviti kokurikulum pelengkap proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di
bilik darjah untuk memberi pendedahan, cabaran mental dan fizikal peserta serta merealisasikan
moto ‘Besut Jogho (Juara) Besut Cakna’,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, para peserta akan ke Kundasang esok sebelum memulakan pendakian Gunung
Kinabalu yang ketinggiannya mencecah 4,095 meter dari aras laut yang merupakan tertinggi di
Pulau Kalimantan dan di Asia Tenggara.
Tambahnya, peserta dijangka tiba di puncak Kinabalu pukul 1.30 pagi 15 Februari dan kira-kira
enam jam kemudian akan sampai di Laban Rata sebelum kembali ke Kota Kinabalu.
Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta dijadual akan disampaikan oleh Ab.
Halim dalam satu majlis di Kota Kinabalu kira-kira pukul 8.30 malam hari berkenaan. – UTUSAN
ONLINE










