22,000 masih tunggu permohonan - Utusan Malaysia

22,000 masih tunggu permohonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 10 Feb. – Kira-kira 22,000 penjawat awam masih me­nunggu permohonan menduduki kuarters kerajaan di sini sekali gus me­nimbulkan kegusaran mereka yang terpaksa menampung kos pe­ngangkutan berulang-alik dari tempat tinggal di sekitar Lembah Klang.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Presi­den Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda yang turut mendedahkan terdapat banyak kuarters kosong dalam Putrajaya di samping tidak diselenggara de­ngan baik oleh pi­hak bertanggungjawab.

Ujarnya, kerajaan perlu men­cari jalan penyelesaian berhu­bung perkara itu kerana sekiranya

Memuatkan artikel berkaitan…
AZIH MUDA
AZIH MUDA 

dibiarkan berterusan situasi berkenaan boleh membebankan penjawat awam khususnya ketika waktu kenaikan kos sara hidup masa kini.

“Kebanyakan kakitangan ke­rajaan bekerja di sini menyewa rumah di Kuala Lumpur, Shah Alam, Klang dan sebagainya. Malah mereka terpaksa bangun awal untuk hantar anak ke seko­lah dan pusat jagaan serta ingin mengelakkan kesesakan jalan raya sebelum ke tempat kerja.

“Sudah terpaksa bayar sewa rumah, kena bayar perbelanjaan lain pula. Sekiranya mereka dapat kuarters di Putrajaya, kuranglah beban mereka berbanding keperi­tan dihadapi mereka selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di kawasan kejiranan Presint 11 mendapati terdapat beberapa kuarters rumah teres dua tingkat dibiarkan kosong begitu sahaja sehingga dinaiki rumput lalang dan dipenuhi sampah-sarap sekali gus menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan A1 Presint 11, Carlos Najmul Basri berkata, keadaan rumah kuarters kosong itu adalah amat menyedihkan berbanding status Putrajaya yang hanya gah sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Katanya lagi, takungan air di timbunan sampah-sarap menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan menjadi punca peningkatan demam denggi di Putrajaya sejak kebelakangan.

“Keadaan fasiliti kediaman terlibat yang tidak diuruskan dengan baik sekiranya dibiarkan boleh menelan kos perbelanjaan yang tinggi untuk tujuan membaik pulih.

“Walaupun pelbagai aduan telah dikemukakan kepada pihak Bahagian Pengurusan Harta (BPH) Jabatan Perdana Menteri, sebaliknya maklum balas diterima adalah amat mendukacitakan. Kita hantar gambar-gambar kepada mereka terhadap masalah ini, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan mereka,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mendakwa terdapat penjawat awam yang telah bersara masih tinggal di kuarters walaupun mereka tidak layak lagi untuk menghuni kediaman itu.

“Selain itu ada yang sudah beli Perumahan Penjawat Awam Malaysia, tetapi masih menetap di kuarters kerajaan. Mereka sepatutnya keluar kuarters untuk beri orang lain duduk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×