22 penduduk PPR Taman Manggis yang diusir boleh rayu sehingga Rabu ini - Utusan Malaysia

22 penduduk PPR Taman Manggis yang diusir boleh rayu sehingga Rabu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 28 Feb. – Seramai 22 penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Georgetown di sini diberi tempoh sehingga Rabu depan bagi merayu untuk membolehkan mereka terus tinggal di situ.

JAGDEEP SINGH DEO
JAGDEEP SINGH DEO 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, permohonan rayuan itu boleh dibuat kepada Bahagian Perumahan negeri untuk pertimbangan sebelum tarikh akhir tersebut.

Menurut beliau, terdapat banyak sebab yang tidak melayakkan penduduk menyewa rumah PPR antaranya tunggakan pembayaran kos penyewaan dan penyelenggaraan serta pendapatan bertambah dan melepasi paras dibenarkan untuk menyewa.

Selain itu, katanya, penduduk juga hilang kelayakan apabila mereka berkahwin dengan warga asing selain didapati mempunyai hartanah sendiri.

“Secara jelasnya, tindakan untuk mengusir adalah pilihan yang terakhir. 

“Bagi mereka yang masih mempunyai tunggakan bayaran walaupun mendapat bantuan kerajaan negeri ataupun didapati tidak layak atas alasan lain, tindakan akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, sebanyak 22 rumah penduduk PPR Taman Manggis disita selepas mereka masih mendiami unit masing-masing meskipun arahan pengosongan diberikan pada Oktober tahun lalu serta notis terbaharu Jumaat lalu.

Menurut Jagdeep, tindakan terhadap penduduk di PPR Taman Manggis perlu diambil disebabkan bekalan bagi rumah PPR yang tidak mencukupi.

Katanya, senarai menunggu unit sewa PPR semakin meningkat dengan kini sebanyak 1,137 pemohon berada dalam senarai menunggu di seluruh negeri ini khususnya 734 pemohon di daerah Timur Laut dan 494 pemohon bagi PPR Taman Manggis. 

“Pemohon yang mununggu bagi tempoh yang terpanjang untuk PPR Taman Manggis adalah antara 10 hingga 11 tahun (22 pemohon) dan majoriti pemohon menunggu selama tujuh tahun (271 pemohon). 

“Kita perlu tegas agar adil terhadap mereka yang sekian lama di atas senarai menunggu,” katanya. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN