BATU PAHAT 12 Feb. – Tindakan dua suspek menggunakan gula-gula getah dan lidi untuk mencuri wang derma tabung masjid terbongkar apabila berjaya ditangkap oleh ahli jawatankuasa Masjid Al Faqih, Parit Raja di sini kelmarin.
Tindakan licik dua lelaki berumur 41 dan 42 tahun berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) pada pukul 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kejadian kecurian wang tabung masjid terbabit sering berlaku sehingga menyebabkan ahli jawatankuasa masjid membuat intipan beberapa hari melalui rakaman CCTV tersebut.
“Ahli jawatankuasa masjid membuat intipan terus bertindak menangkap kedua-dua suspek tersebut. Suspek dipercayai mencuri duit tabung menggunakan lidi yang dibaluti dengan gula-gula getah pada bahagian hujungnya.
“Suspek kemudiannya menjolok lidi dan menarik keluar duit kertas yang berada dalam tabung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azhan berkata, ketika tangkapan dilakukan, suspek berjaya mengeluarkan wang tunai RM171 yang kemudiannya dirampas ahli jawatankuasa masjid untuk dijadikan bukti jenayah.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek turut mempunyai rekod atas kesalahan dadah sebelum ini.
“Kedua-dua suspek direman empat hari bermula Sabtu sehingga hari ini bagi membantu siasatan. Kita percaya melalui tangkapan ini, beberapa kes kecurian duit tabung masjid di sekitar Ayer Hitam dan Parit Raja dapat diselesaikan,” katanya.










