KOTA BHARU 13 Feb. – Dua lelaki yang ditembak di sebuah bengkel kereta di Lorong Pracha Ruam Jai, Jalan Prathan U, Golok, Thailand malam semalam disahkan sebagai rakyat Malaysia.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan ketika mengesahkan perkara itu berkata, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 54 dan 18 tahun berasal dari Kota Bharu.
“Kejadian tembakan malam tadi membabitkan warga Malaysia dan secara spesifiknya berasal dari Kota Bharu.
“Berdasarkan maklumat yang kita peroleh salah seorang mangsa maut dan seorang lagi cedera. Proses bedah siasat dijalankan di sana sebelum jenazah dijangka dibawa pulang hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK), di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam semalam, mangsa yang maut dikenali sebagai Sulaimi Mat Ali, 54, manakala mangsa yang cedera dikenali sebagai Muhammad Shahrul Aiman Mohd. Abdul Aziz, 18.
Difahamkan, Muhammad Shahrul Aiman kini dirawat di Hospital Sungai Golok.
Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang meninggal dunia mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan harta benda di negara ini.
“Untuk yang selebihnya kita serahkan kepada Polis Sungai Golok untuk jalankan siasatan kerana kejadian berlaku di sana,” katanya. – UTUSAN ONLINE











