2 lelaki ditahan pukul pengawal keselamatan warga Nepal - Utusan Malaysia

2 lelaki ditahan pukul pengawal keselamatan warga Nepal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 13 Feb. – Dua lelaki tempatan yang bertindak memukul seorang pengawal keselamatan warganegara Nepal dengan menggunakan kayu cota di sebuah estet di Senai dekat Kulai, ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, suspek yang berusia antara 22 hingga 30 tahun ditahan di dua lokasi berasingan di Kulai pada 10 pagi ekoran laporan dibuat lelaki Nepal itu tahun lalu.

Menurutnya, sejak laporan diterima daripada pengadu pada 29 Jun 2018 pukul 6.20 pagi, polis telah membuat beberapa siri pengesanan suspek dan akhirnya kedua-dua lelaki tempatan itu berjaya diberkas kelmarin.

“Lelaki Nepal itu membuat laporan polis mengatakan dia dipukul oleh dua lelaki yang berada dalam keadaan mabuk dengan menggunakan kayu cota ekoran tidak berpuas hati kerana pengadu tidak membuka pintu pagar ladang untuk dilalui suspek.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Cawangan Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kulai menahan kedua-dua suspek di dua lokasi berasingan pada 10 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Tambahnya, seorang suspek merupakan orang dikehendaki polis bersabit kes di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan reman sehingga esok bagi kes yang disiasat di bawah Seksyen 324/427 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN