PARIT BUNTAR 2 Feb. – Penduduk di daerah ini kecewa apabila pembinaan Hospital Kerian di Simpang Lima dekat sini telah tertangguh beberapa kali dan sehingga kini masih belum disiapkan.
Keadaan itu menyebabkan penduduk yang mengalami masalah kesihatan terpaksa mendapatkan rawatan hospital di Kedah, Pulau Pinang dan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
Keadaan itu menyukarkan mereka kerana terpaksa mengeluarkan belanja yang besar khususnya dari segi pengangkutan.

Projek pembinaan hospital dengan kos RM136.7 juta itu yang bermula pada Januari 2018 dan dikatakan bakal memuatkan 76 katil, hakikatnya dijadualkan siap pada Disember 2020.
Seorang penduduk, Mohd. Noor Abu Bakar, 80, berkata, kerajaan wajar memberi perhatian segera menyiapkan pembinaan hospital tersebut.
Menurutnya, pembinaan Hospital Kerian telah beberapa kali tertangguh sejak hampir 15 tahun lalu dengan pelbagai alasan diberikan pihak terbabit.
“Ketiadaan hospital memberi kesan kepada kami terutama warga emas kerana perlu sentiasa mendapatkan rawatan. Untuk pergi ke hospital di Ipoh, memerlukan perbelanjaan yang tinggi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan Parit Buntar, Abu Bakar Hussain berkata, penduduk yang mengharapkan hospital di kawasan tersebut ibarat ‘menunggu buah yang tidak gugur’.
Sehubungan itu katanya, mereka tidak boleh lagi menerima pelbagai alasan bagi mewajarkan kelewatan pembinaannya.

“Alasan kelewatan pembinaan hanya satu peratus disebabkan percanggahan antara agensi terlibat sukar diterima.
“Mengapa sudah tiga kali pilihan raya projek ini masih belum siap? Kebanyakan alasan yang diberi pula berlegar dari segi teknikal,” katanya.
Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim menzahirkan rasa kecewa terhadap perkembangan projek pembinaan hospital terbabit yang berdepan masalah kelewatan daripada jadual asal.










