14 GRO Vietnam leka layan pelanggan ditahan - Utusan Malaysia

14 GRO Vietnam leka layan pelanggan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG 28 Feb. – Kelekaan 14 pelayan pelanggan (GRO) warga asing yang sedang asyik melayan pelanggan terbantut apabila mereka dikejutkan dengan serbuan pihak berkuasa malam tadi.

Serbuan selama dua jam di dua kelab malam, bermula pukul 11 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Selangor.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, serbuan dibuat hasil aduan dan risikan pihaknya setelah dua buah kelab yang terletak di Bandar Bukit Tinggi 1 dan Taman Bayu Tinggi itu beroperasi tanpa lesen.

Jelas Mohd. Khaizam, pihaknya mendapati pemilik kelab malam menjadikan GRO warga Vietnam sebagai pelaris bagi menarik pelanggan berkunjung ke kelab malam itu.

“Malah, siasatan awal mendapati semua GRO itu memperoleh tips bermula dari serendah RM50 dengan hanya menemani seorang pelanggan di premis berkenaan.

“Kesemua GRO ini juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan melanggar syarat pas lawatan sosial,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Bagaimanapun, jelas Mohd. Khaizam, hasil siasatan mendapati tiada sebarang perkhidmatan seks ditawarkan kepada pelanggan.

“Kesemua GRO termasuk tiga penjaga premis berusia 20 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. Kita turut merampas monitor, pembesar suara, amplifier, mikrofon dan sejumlah wang tunai.

“Semua individu yang ditahan dan barang rampasan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan kes disiasat mengikut Peraturan 39 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1963 selain Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN