JOHOR BAHRU 28 Feb. – Kira-kira 1,000 penjaja jalanan di sekitar daerah ini tidak mempunyai lesen dan berniaga secara tidak sah.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berkata, penjaja jalanan tersebut antaranya meniaga di Johor jaya, Skudai, Bakar Batu, Tebrau dan Austin Perdana.
Jelasnya, ada di antara mereka tidak memiliki lesen dan selebihnya sedang memohon untuk mendapatkan lesen perniagaan daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Perkara tersebut bukan bermaksud pihaknya enggan meluluskan permohonan tetapi perlunya penilaian teliti sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurutnya, itu juga berpunca daripada keengganan penjaja sendiri untuk mematuhi ketetapan majlis bandar raya melibatkan pelbagai aspek terutama keselamatan dan kebersihan.
“Permohonan lesen ini ada senarai semak, ia mudah sekiranya kriteria dipatuhi. Masalah dihadapi atau dibangkitkan ini kebanyakannya daripada penjaja di tepi jalan.
“Kita kena teliti kes demi kes kerana perkara ini berkait dengan isu keselamatan dan kebersihan. Kebanyakan penjaja memohon di tempat yang tidak sesuai dan kita tidak boleh sewenang-wenangnya nak melesenkan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Fiesta Majlis Bandaraya Johor
Bahru (MBJB) sempena sambutan Jubli Perak MBJB 1994-2019 di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Dr. Mazlan Yusoff, Setiausaha MBJB, Abdul Malik Ismail dan Timbalan Setiausaha MBJB, Ir. Nazatul Shima Mohamad. – UTUSAN ONLINE











