PUTRAJAYA 23 Jan.- Datuk Zulkiflee Abbas akan menamatkan perkhidmatan sebagai Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat termasuk jawatan lain yang disandang beliau dalam bank itu pada 2 April ini.
Kementerian Pembangunan Usahawan dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya kini sedang meneliti proses pelantikan Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat yang baharu dengan pihak terbabit termasuklah bersama Bank Negara.
“Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat disamping itu ingin merakamkan penghargaan kepada Zulkiflee atas kejayaannya dari mula dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Presiden pada 3 April 2017 dalam mengukuhkan tadbir urus korporat, asas pendanaan dan amalan pembelanjaan berhemah semasa tempoh kepimpinan beliau,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Dalam masa sama, Zulkfilee mengucapkan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof, pengurusan kementerian, Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Syariah, Jawatankuasa Pengurusan dan seluruh warga kerja Bank Rakyat yang telah memberikan sokongan dalam pelaksanaan peralihan strategik ini.
“Sejak dua tahun yang lalu, kami telah berjaya mempelbagaikan produk yang bukan sekadar memberi tumpuan kepada pembiayaan peribadi semata-mata, malah produk pembiayaan runcit lain seperti perumahan, pendidikan, kenderaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” katanya menerusi kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE










