RANTAU PANJANG 9 Jan. – Seorang remaja berusia 16 tahun yang hilang tanpa jejak sejak 3 Januari lalu ditemukan dalam keadaan selamat di Kampung Cherang Pulas, Pasir Puteh, awal pagi tadi.
Zulaikha Balqis Asmadi ditemukan orang ramai ketika sedang bekerja di sebuah kedai makan di kampung berkenaan setelah kehilangannya itu dilaporkan oleh pihak media dan kemudian tular di laman sosial Facebook serta aplikasi WhatsApp.
Ibunya, Zuraidah Abdul Salam,40, berita penemuan anak ketiga daripada tujuh beradik itu amat melegakan dia dan seluruh ahli keluarga selepas bimbang dengan keselamatan remaja tersebut.
Menurutnya, sebaik sahaja mendapat berita penemuan anaknya itu dia terus ke Kampung Cherang Pulas untuk membawa Zulaikha Balqis pulang ke rumah.
“Alhamdulillah saya bersyukur dan sangat gembira Zulaikha Balqis ditemui dalam keadaan sihat.
“Saya berterima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dalam membantu mengesan anak saya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Online semalam melaporkan, luluh hati seorang ibu apabila anak perempuan menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita sejak 3 Januari lalu.
Zuraidah memberitahu, Zulaikha Balqis telah dilarikan oleh kawan lelakinya dan kemudian bertindak menyembunyikan maklumat sebenar.
Katanya, dia yang mengenali kawan lelaki anaknya itu pernah bertanya maklumat kehilangan Zulaikha Balqis namun dia menafikan mengetahui gadis itu berada di mana. – UTUSAN ONLINE










