KUALA LUMPUR: UMNO Negeri Sembilan berharap isu Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dapat diselesaikan dengan segera.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau bagaimanapun tidak mengetahui urutan pelaksanaan perkara tersebut kerana tidak lagi berada dalam sistem pentadbiran negeri.
Katanya, perkembangan mengenai isu berkenaan hanya diketahui menerusi laporan media dan maklumat yang diketahui umum sejak satu atau dua hari lalu.
“Saya selaku Ketua UMNO Negeri Sembilan berharap penyelesaian ini dapat dilakukan dengan segera.
“Saya tidak tahu urutan pelaksanaannya kerana tidak lagi berada dalam sistem. Saya bukan lagi anggota pentadbiran negeri,” katanya ketika ditemui selepas Taklimat Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bahawa beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkenaan.
Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, laporan polis berhubung perkara itu turut dibuat kira-kira pukul 6 petang semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan pihak berkuasa.
“Merujuk kepada isu dokumen Surat Cara Proklamasi yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 September 2026, saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).
“Saya telah membuat laporan polis pada sekitar jam 6 petang pada 8 September 2026 bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kerajaan Negeri Sembilan berpendirian bahawa Surat Cara berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dalam pada itu, Jalaluddin enggan mengulas kenyataan Ismail berhubung perkara tersebut.
“Apa yang dikeluarkan dan dikatakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, saya tidak mempunyai sebarang komen mengenainya,” katanya. – UTUSAN










