KUALA LUMPUR 2 Jan. – Cabaran menguruskan anak bagi hari pertama sesi persekolahan turut dirasakan oleh selebriti tanah air, Zed Zaidi.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil berkata, sebagai bapa dia juga turut berasa gementar dengan reaksi anak tunggalnya, Ryan Ziqry yang berusia tujuh tahun itu.
“Anak saya ada rasa sedikit terkejut, sekejap-kejap dia macam nak menangis mungkin sebab perubahan tempat dulu dari tadika sekarang sudah di sekolah.
“Apapun sebagai bapa kita kena pandai pujuk dan saya juga bersyukur kerana dia terpilih untuk memasuki sekolah ini yang mengadakan peperiksaan untuk pengambilan murid tahun satu,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (1), di sini hari ini.
Tambah Zed yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) itu, dia sudah melakukan persiapan persekolahan sejak awal demi memenuhi permintaan anaknya.
“Budak ini biasalah hendak beg adiwira Batman, Ironman, jadi sebagai bapa saya cuba memenuhi permintaannya sebagai motivasi untuk belajar di sekolah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










