Waspada challenge media sosial - Utusan Malaysia

Waspada challenge media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
KEMAJUAN
serta perkembangan pesat teknologi informasi dan komunikasi tidak dapat dinafikan. Masyarakat kini dapat berkomunikasi lebih mudah dan pantas meskipun dalam jarak jauh. Namun, masyarakat mudah terdedah dengan pengaruh media sosial, misalnya cabaran atau challenge yang begitu popular serta tular di seluruh dunia. Rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan.

Terbaharu #10yearschallenge menjadi trending dalam laman sosial. Cara challenge ini dilaksanakan adalah dengan memuat naik gambar 10 tahun lepas dan dibandingkan dengan gambar terkini. Menerusi kenyataan Twitter peribadi Kate O’Neil iaitu pengasas laman web teknologi KO Insight, challenge tersebut mungkin merupakan salah satu taktik syarikat-syarikat tertentu untuk mengumpul data peribadi pengguna tanpa mereka sedari. Challenge berkenaan mungkin membolehkan pihak tertentu melatih A.I. atau Kecerdasan Buatan mengumpul data pengiraan pengecaman wajah.

Tanpa kita sedari challenge tersebut telah memudahkan pihak tertentu mengumpul set data dengan tepat dan secara tidak langsung terdedah dengan ancaman pencerobohan data peribadi. Walaupun kesahihannya masih menjadi tanda tanya, namun masyarakat perlu selidiki perkara itu.

Sewajarnya, masyarakat perlu mengambil kira kebaikan serta keburukan cabaran yang ingin dilakukan. Walaupun hanya sekadar suka-suka atau bagi melepaskan depresi diri, namun pada pandangan saya, setiap tindakan yang ingin dilakukan perlulah menitikberatkan soal keselamatan terlebih dahulu. Justeru berfikirlah secara logik dan waras agar tidak memudaratkan diri serta orang lain.

AINAA MAYA MUNIRA ISMAIL

Pensyarah UiTM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN