Warga enas dikhuatiri sesat sejak Ahad lalu - Utusan Malaysia

Warga enas dikhuatiri sesat sejak Ahad lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 9 Jan. – Seorang lelaki warga emas dikhuatiri sesat di Hutan Lipur Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam di sini sejak empat hari lalu.

Mangsa, Chuah Poeh Seng, 67, dikatakan pergi ke kawasan hutan lipur tersebut Ahad lalu dan gagal dikesan ahli keluarganya sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komsioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anak saudara mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi selepas kereta milik mangsa ditemukan di kawasan pusat rekreasi itu.

“Mengikut maklumat, kereta jenis Volvo tersebut telah ditinggalkan di kawasan letak kereta hutan lipur itu sejak Ahad lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah digerakkan  oleh pihak bomba sukarela dan orang awam bermula tengah malam sehingga pukul 3 pagi tadi, namun mangsa masih gagal dikesan.

“Usaha mencari juga digerakkan oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) sejak pukul 8 pagi tadi,” katanya.


Difahamkan, setakat petang ini mangsa belum ditemukan pasukan penyelamat dan operasi ditangguhkan sebelum disambung semula pagi esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN