Warga emas maut dihempap dinding konkrit ketika sedang meroboh rumah - Utusan Malaysia

Warga emas maut dihempap dinding konkrit ketika sedang meroboh rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 7 Jan. – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas ditimpa dinding konkrit ketika sedang melakukan kerja-kerja meroboh sebuah rumah di Taman Sri Rambai, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang tadi, mangsa, Chiam Meng Kuang, 65, maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Isa Salleh, 42, mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan kedua-dua mereka dikejarkan Hospital Bukit Mertajam di sini.

Menurut jurucakap pasukan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.17 petang tadi.

Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa yang maut didapati masih terperangkap di bawah timbunan dinding konkrit yang runtuh seluas kira-kira satu meter persegi.

“Usaha menyelamatkan mangsa segera dilakukan namun dia disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, rumah yang sedang dirobohkan itu adalah bagi memberi laluan kepada projek tebatan banjir.

“Bagaimanapun, tuan rumah telah meminta kebenaran untuk merobohkan sendiri rumahnya dan kerja-kerja itu sudah berjalan sejak minggu lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN