KAJANG – Tanda tanya yang menyelubungi ketidakhadiran seorang pekerja wanita warga Indonesia ke tempat kerjanya selama tiga hari terjawab apabila ditemui maut dalam keadaan terikat dan separuh bogel di bilik asrama pekerja di Jalan Reko, Kajang petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah berkata, mangsa ditemui dalam keadaan kedua tangannya terikat dengan kain dan mulutnya juga turut disumbat dengan kain.
“Pihak polis menerima panggilan kecemasan semalam kira-kira pukul 6.24 petang oleh majikannya yang memaklumkan bahawa pekerja wanitanya telah ditemui maut di bilik asrama pekerja setelah tiga hari tidak datang bekerja.
“Mangsa bekerja sebagai jurujual di salah sebuah kedai perabot yang berhampiran dengan kawasan kejadian dan tinggal bersendirian di biliknya di asrama pekerja tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Sabri menambah, kali terakhir mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu dilihat adalah pada 27 Disember lalu pada pukul 9 malam.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Serdang untuk tujuan bedah siasat yang dilakukan pada hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya. Pasport mangsa juga tidak dijumpai di lokasi kejadian.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan usaha mengesan suspek telah digiatkan,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintendan Ismail Ahmad di talian 019-2306107.










