Vivian-Cheng Wen sasar kelompok 16 teratas - Utusan Malaysia

Vivian-Cheng Wen sasar kelompok 16 teratas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Beregu yang baru digandingkan tahun lepas, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen meletakkan sasaran lebih tinggi pada saingan 2019 apabila mahu berada dalam kelompok 16 terbaik dunia.

Meskipun baru digandingkan September tahun lalu, namun beregu yang berada pada ranking ke-33 dunia itu sudah menggenggam dua gelaran iaitu pada Terbuka Macau serta Cabaran Antarabangsa (IC) Bangladesh.

Justeru, Vivian menegaskan mereka mahu memperbaiki ranking dari semasa ke semasa bagi membolehkan mereka menyertai kejohanan lebih besar pada masa akan datang.

“Sekarang kami berada pada ranking ke-33, jadi selepas ini sudah pasti kami akan berjuang dan memastikan kami menghuni kelompok 16 teratas. Ia amat penting bagi membolehkan kami menyertai kejohanan lebih besar selepas ini.

“Saya dan Cheng Wen tahu ia bukannya perkara mudah, namun kami akan cuba selangkah demi selangkah serta sentiasa fokus dalam setiap kejohanan yang disertai,” katanya ketika ditemui di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Mengulas kemenangan 12-21, 21-12, 21-18 ke atas beregu Thailand, Chayanit Chaladchalam-Phataimas Muenwong pada pusingan pertama Malaysia Masters tadi, Vivian mengakui mereka berdepan kesukaran di awal permainan.

“Satu perlawanan yang sukar hari ini, saya sudah jangkakan ketika mula-mula melangkah masuk ke dalam gelanggang. Bagaimanapun, ia sangat penting kerana beri peluang kepada kami untuk tingkatkan persefahaman.

“Kami perlu segera memperbaiki kombinasi sama ada di dalam atau luar gelanggang. Saya dapat rasa sedikit perbezaan kerana jarak umur yang agak jauh dengan Cheng Wen, berbeza ketika berganding bersama (Woon) Khe Wei,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×