SERDANG 16 Jan. – Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah disyaki syabu bernilai RM200,000 selepas menyerbu dua lokasi di Seri Kembangan sejak kelmarin.
Dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 8.30 malam, Isnin lalu, suspek yang berumur 30 dan 40 tahun ditahan selepas dipercayai aktif melakukan kegiatan mengedar dadah sejak setengah tahun lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, hasil risikan suspek disyaki menggunakan hotel yang disewa tempat pertukaran, agihan dan jualan dadah.
“Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari Selasa bagi melengkapkan siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Serbuan kedua pada hari Selasa seorang lelaki terlibat ditahan dibawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (LLPK) 1985,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Serdang hari ini.
Ismadi memberitahu, suspek ketiga itu ditahan di sebuah rumah di Taman Universiti di sini selama 60 hari bagi melengkapkan siasatan. – UTUSAN ONLINE










