PULAU PINANG 20 Jan. – Satu video yang didakwa kejadian nahas ngeri yang menyebabkan sebuah kenderaan tercampak ke dalam laut dari atas Jambatan Pualu Pinang yang berlaku awal pagi tadi tular di dalam media sosial.
Kejadian itu dirakam menerusi video dari dalam sebuah kereta yang turut melalui jalan tersebut ketika kejadian kira-kira pukul 2.55 minit pagi tadi.
Menerusi video itu, sebuah kereta hitam yang dilihat dipandu laju hilang kawalan dan merempuh sebuah kereta jenis SUV berwarna putih yang berada di lorong paling laju.
Akibat rempuhan itu, kedua-dua kenderaan berkenaan merempuh tembok pembahagi jalan di atas jambatan berkenaan sebelum terseret ke bahu jalan menyebabkan kereta jenis SUV berkenaan tercampak ke laut.
Dalam pada itu, jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat berkata, kenderaan yang terjunam ke dalam laut tersebut masih belum ditemukan sehingga kini dan operasi menyelamat turun dibantu oleh empat anggota penyelam polis marin. – UTUSAN ONLINE










