KOTA BHARU – Seorang lelaki berusia 29 tahun didakwa mengalami masalah mental dikhuatiri lemas selepas terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini kira-kira pukul 11.50 pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Ahmad Kamal Ideris dari Pasir Mas menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) menuju ke Kota Bharu bersama ibunya.
Difahamkan, mangsa bertengkar dengan ibunya di dalam kereta sebelum bertindak sedemikian.
Menurut bapa saudara mangsa, Rusli Mat Hassan, 54, berkata, beliau difahamkan ibu mangsa telah memberhentikan kenderaan kira-kira 500 meter dari jambatan tersebut selepas diarahkan oleh anaknya.
Katanya, selepas itu mangsa berbadan gempal tersebut bertindak keluar dari kereta dan ke jambatan berkenaan untuk terjun.
“Tindakan itu cuba dihalang oleh ibunya namun tidak terdaya. Ibu mangsa telah meminta bantuan dari seorang pemuda yang kebetulan ada di situ dan pemuda terbabit cuma menghalangnya.
“Pergelutan berlaku antara mereka berdua namun pemuda itu tidak dapat menyelamatkan mangsa daripada terjun dari tembok jambatan tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa sebelum ini pernah membuat panggilan ancaman bom palsu di sebuah stesen minyak di Jalan Masjid Lama, Pasir Mas pada 2 Januari lalu.
Katanya, mangsa juga sejak kebelakangan ini sering berhalusinasi selepas berpisah dengan isterinya sehingga bertindak di luar kawalan. – K! ONLINE.










