AKTIVITI memberi bantuan makanan dan pakaian oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada gelandangan di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur memang biasa dilihat.
Namun lain pula hal yang dilakukan Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia (MCG) dan Al-Zikri dengan kerjasama syarikat Anak Muda Malaya (Samaya) dan Bridget Negaraku.
Melihat golongan jalanan memerlukan ‘santapan rohani’, pertubuhan terbabit mengambil inisiatif mengadakan Kelas Iqra’ Bersama Rakan Jalanan.
Usaha itu dimulakan sejak Ramadan 2017, khusus untuk anak-anak gelandangan dan diadakan pada setiap hari Selasa, bermula pukul 9.30 malam hingga 11 malam.
Menurut Pengerusi MCG, Sham Samad, kelas belajar al-Quran itu mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak gelandangan terutama dari sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman.
Katanya, ada kalanya kelas itu turut dihadiri golongan ibu yang sebelum ini mungkin tidak berpeluang mempelajari kitab suci tersebut.
“Kami buat kelainan dengan mengadakan kelas mengaji al-Quran kerana kami lebih menjurus kepada aktiviti dakwah dan mementingkan pembangunan modal insan.
“Kebanyakan sukarelawan yang menjadi tenaga pengajar adalah mahasiswa dari universiti tempatan yang sanggup meluangkan masa untuk membantu kami.
“Kami harap program ini menerima sokongan agar dapat dibangunkan secara berterusan,” katanya.
Kelas yang diadakan di kaki lima berhampiran Restoran Nasi Kandar Al Maajid, Jalan Tunku Abdul Rahman itu melibatkan lapan hingga 10 sukarelawan sebagai tenaga pengajar.
Selain mengajar Iqra’, ada juga sukarelawan mengajar mata pelajaran matematik.
Sukarelawan, Noor Idayu Salim, 21, berkata, beliau ikhlas meluangkan masa setiap hari Selasa untuk menjayakan program tersebut.
Ini kerana beliau berasa gembira dapat mengajar anak-anak gelandangan, lebih-lebih lagi dapat melihat keterujaan mereka apabila diberi peluang untuk mengaji al-Quran.
Namun, katanya, yang merupakan pelajar tahun tiga Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Malaya (UM), sebahagiannya datang silih berganti kerana mereka hidup berpindah-randah mengikut ibu bapa masing-masing.
“Saya seronok mengajar mereka menggunakan Iqra’. Saya lihat mereka begitu menghargai peluang yang diberikan. Ibu bapa pula memberikan sokongan.
“Di sini, kita dapat lihat, mereka sangat menghargai ilmu sekiranya diberi peluang berbanding sesetengah kita yang ada kemampuan, tetapi tidak menghargai peluang yang diberikan,” ujarnya.
Pelajar tahun akhir Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) – Darul Quran, Siti Nor Amirah Mohd. Amirul Momin, 23, pula, berkata, walaupun baru tiga kali melibatkan diri dalam program berkenaan, beliau berasa teruja untuk terus mengajar anak-anak gelandangan tersebut.
“Sebelum ini, saya ada buat kelas mengaji di rumah seperti ‘home tutor’. Kebanyakan anak-anak yang saya ajar itu agak liat sikit, bila dipanggil…, baru datang hendak belajar.
“Tetapi di sini, saya terkesan melihat anak-anak gelandangan. Mereka sendiri datang kepada kami untuk belajar. Saya harap program ini dapat diteruskan agar kanak-kanak yang kurang bernasib baik berpeluang belajar mengaji al-Quran,” katanya.










