PUTRAJAYA 25 Jan. – Tempoh reman seorang bekas pengurus kanan produk di sebuah syarikat yang ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan bernilai lebih RM2 juta dilanjutkan dua hari bermula esok sehingga Ahad ini.
Majistret Ahmad Afiq Hassan membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan tempoh reman lelaki itu bagi melakukan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Pada Selasa lalu, suspek berumur 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.35 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini selepas hadir memberi keterangan, dan direman selama tiga hari berakhir hari ini.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek menerima suapan bernilai lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit.
Selain suspek katanya, beberapa lagi individu sedang dikesan SPRM bagi membantu siasatan bagi kes yang sama. – UTUSAN ONLINE










