MELAKA 4 Jan. – Sebuah pondok menempatkan kaunter bayaran letak kereta yang baru dibina di Taman Nirwana, Jalan Klebang Besar di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi ini.
Kebakaran melibatkan pondok berukuran 1.8 meter x 1.8 meter dibina syarikat swasta dan diuruskan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah malam.
Bagaimanapun Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 1.02 pagi dan sepasukan tujuh anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Zulkifli Nordin berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan ll Zaidi Kadiron berjaya memadamkan kebakaran itu sepenuhnya pada pukul 1.28 pagi.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi, kita dapati kebakaran melibatkan pondok bayaran letak kenderaan yang telah diswastakan oleh MBMB.
“Pondok berkenaan terbakar 80 peratus dan pihak kami mengambil masa kurang dari 15 minit untuk memadamkan kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada pemilik syarikat berhubung kejadian tersebut.
“Bagaimanapun kita masih menunggu laporan daripada JBPM untuk siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE










