KOTA BHARU 29 Jan. – Kumpulan penunggang kapcai ‘Gi Mekoh Nga Mutor’ selamat pulang ke bumi Tanah Serendah Sekebun Bunga dengan disambut meriah kira-kira 100 kenalan dan ahli keluarga di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini pukul 3.30 petang hari ini.
Ketibaan mereka turut disambut oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat dan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Hafiz Hazin serta ahli-ahli kelab motosikal.
Tiga penunggang ini yang diketuai Diami Yusoff, 60; Mohd. Zalani Zulkifli, 64, dan Mohamad Fadhli Ab. Rashid, 40, terlebih dahulu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan terus dari Jeddah, Arab Saudi pada pukul 7 pagi.
Diami berkata, pengalaman berharga mengembara dengan motosikal kapcai melalui lapan buah negara selama hampir tiga bulan demi mencapai misi ke tanah suci Mekah dan Madinah akan dibukukan supaya menjadi panduan dan iktibar kepada orang lain khususnya, yang berhasrat melakukan misi sama.
“Kita nak pergi Mekah dengan motosikal ini jangan tengok pada penunggang, jangan tengok pada usia. Kalau berasa nak pergi kena yakin pada Tuhan insya-Allah akan sampai,” katanya di sini hari ini.
Katanya, antara cabaran dihadapi adalah cuaca sejuk melampau yang mencecah sehingga -10 darjah celsius di kawasan pergunungan sekitar Iran dan India.
Jelasnya lagi, keadaan jalan yang teruk terutama di Myanmar dan sesetengah jalan di India juga menuntut mereka menunggang dengan lebih waspada selain ribut pasir dan angin lintang di kawasan padang pasir di Pakistan dan Iran.
Diami memberitahu, bagi merealisasikan misi itu, mereka membelanjakan RM120,000 yang dikumpul hasil jualan baju T serta sumbangan pelbagai pihak termasuklah kerajaan negeri.
Misi dengan motosikal kapcai yang bermula pada 3 November 2018 dimulakan dari Masjid Muhammadi di sini dan melalui Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, UAE dan Arab Saudi.











