TEMERLOH – Jalan Mentakab-Temerloh berhampiran Taman Chengal menjadi ‘port’ mat rempit beraksi termasuk lumba haram.
Tinjauan Kosmo! petang tadi mendapati lebih 100 buah motosikal dan kereta berada di tepi jalan untuk melihat gelagat mat rempit.
Pelbagai aksi dapat dilihat termasuk berlumba haram dan ada yang melakukan aksi ‘wheely’ tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain.
Paling mencuri perhatian apabila dua buah motosikal melakukan aksi ‘wheely’ berani mati masing-masing di hadapan dan belakang sebuah treler.
Tidak ketinggalan beberapa buah kereta dilihat turut tidak melepaskan peluang termasuk Honda Civic Ferio dan Proton Perdana V6 yang berlumba haram.
Difahamkan, laluan tersebut digunakan oleh mat rempit untuk beraksi setiap hari cuti bermula 5.00 petang hingga 7.00 petang. – K! ONLINE










