SEBAGAI pendakwah muda, PU Rizz menyifatkan gajet sebagai alat bantu komunikasi terpenting masa kini, Namun, jika disalah guna peranti itu boleh menjadi ‘virus’ yang menghancurkan rumah tangga dibina.

Mana tidaknya, bahana terlalu leka menghadap gajet dengan pelbagai aplikasi media sosial menjadikan seseorang itu mengabaikan tanggungjawab terhadap pasangan sehingga mencetus sengketa.
Harus difahami sengketa akan mengganggu sistem diri, anak-anak dan keluarga yang boleh membawa kepada perkara halal paling dibenci oleh Allah iaitu penceraian.
Sebaiknya pasangan harus mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang komunikasi iaitu cara pengurusan konflik dan psikologi keluarga paling berkesan.
Berikut kupasan dan perkongsian daripada figura yang semakin membina nama di pentas dakwah tanah air dalam edisi Till Jannah.
Pasangan versus gajet
“Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri?” Itu antara petikan lagu Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dalam filem 3 Abdul. Lirik berkenaan jelas menunjukkan asam garam perkahwinan yang pastinya sesekali dilanda badai.
Salah faham atau pergaduhan antara suami isteri bagaikan adat resam dalam rumah tangga dan cabaran yang harus ditempuh bersama.
Namun, jika dihitung pada zaman milenium ini, lebih banyak cabaran perlu dihadapi oleh pasangan berkahwin dalam melayari bahtera rumah tangga mereka.
Antaranya ialah kewujudan pelbagai gajet dan aplikasi media sosial yang mencipta ruang-ruang sengketa antara suami isteri.
Jika dilihat secara mendalam, ketagihan terhadap gajet dan media sosial secara tidak langsung mengurangkan interaksi bersama orang sekeliling.
Hal ini jelas sekali berlaku kerana suami atau isteri terlalu melebihkan gajet sehingga menyebabkan pasangan berasa terabai lalu menimbulkan pergaduhan.
Adakah kita hidup untuk gajet, adakah media sosial itu perlu kita lawati setiap waktu?
Lalu bagaimana cara terbaik untuk mengelakkan teknologi atau gajet ini ‘memakan’ diri sehingga memusnahkan rumah tangga?
Mega, Mimbar, mendapatkan perkongsian Pencetus Ummah, Muhammad Haris Mohd. Ismail (PU Rizz) untuk menyingkap dan membantu menghuraikan permasalahan ini.

Perkara pertama menurutnya, penceraian disebabkan oleh teknologi bukan suatu perkara yang baru, malah kerap kali berlaku terutama dalam kalangan pasangan muda.
Hal ini kerana mereka tidak dapat membezakan antara kepentingan peribadi dan keperluan menjaga keharmonian rumah tangga seperti menghindari perkara yang boleh menyakiti hati pasangan.
“Tidak dinafikan gajet dan media sosial membuka pintu kepada kes-kes penceraian, malah sudah banyak kes yang berlaku di negara ini boleh dijadikan iktibar.
“Antaranya ialah berlaku curang dengan mencari orang ketiga, melebihkan gajet sehingga pasangan terabai dan banyak lagi,” katanya.
Sebagai contoh tambahnya, ada kes yang berlaku, si suami mengugut mahu menjatuhkan talak hanya kerana si isteri mahu meninggalkan kumpulan WhatsApp.
Hal ini menjadi ‘virus’ dalam rumah tangga kerana kemudahan berkomunikasi dalam media sosial dengan ramai orang disalah guna untuk perbuatan maksiat dan mengkhianati kepercayaan
pasangan.
Di samping itu, ia juga mengurangkan komunikasi berkesan antara pasangan sehingga menjejaskan keharmonian kerana masing-masing asyik melayani alam maya sehingga lupa pada realiti yang ada di depan mata.
Bukan itu sahaja, ketagihan terhadap media sosial turut mengundang perbuatan maksiat antara lelaki dan perempuan bukan mahram seperti perbualan intim serta perkongsian gambar tidak sepatutnya.
Selain itu PU Rizz berkata, sikap terlalu terbuka pasangan sehingga menjadikan media sosial sebagai medium untuk melampiaskan amarah turut menjadi asbab kepada krisis suami isteri.
“Perbuatan memuat naik perkara-perkara buruk berkaitan hal rumah tangga sehingga boleh menimbulkan fitnah adalah perkara yang ditegah dalam Islam.
“Sebagaimana Allah berfirman dalam Surah al-Tahrim, ayat 6: “Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.
“Oleh itu, trend memuat naik masalah rumah tangga dalam media sosial adalah sama seakan-akan membuka aib pasangan dan ini adalah perkara yang tidak disukai oleh Allah,” jelasnya.
Justeru katanya, pasangan suami isteri dinasihatkan agar tidak sesekali membuka ruang itu kepada orang ramai.
“Kalau tidak perlu, tak payah”
Bagi sesetengah pihak mungkin berasakan gajet dan media sosial merupakan satu trend semasa dan keperluan utama pada masa kini.
Jika tidak menggunakan kemudahan teknologi itu sudah tentu kita akan ketinggalan jauh ke belakang dan tidak tahu mengenai perkembangan semasa.
Walau bagaimanapun, dalam konteks suami isteri harus diingatkan bahawa gajet dan media sosial sepatutnya digunakan secara terkawal dan bijak. Bagaimana?
Menurut PU Rizz, konsepnya mudah sahaja iaitu ‘kalau tidak perlu, tak payah buat’.
Maksudnya, sensitiviti antara suami dan isteri penting untuk dijaga bagi mewujudkan keluarga sakinah (harmoni) dan mawaddah (berkasih sayang).
“Perlu diberi perhatian, tidak perlu tegur lelaki dan wanita bukan mahram dalam media sosial tanpa tujuan atau hanya untuk berseronok.
“Terutamanya wanita, kalau sudah berkahwin tidak perlu lagi hendak bertegur sapa dengan bekas kekasih dan sebagainya kerana itu sebenarnya boleh menjadi punca kepada keretakan rumah tangga tanpa kita sedar,” ujarnya.
Selain itu tambahnya, suami isteri harus bersikap terbuka antara satu sama lain dan tidak terlalu berahsia sehingga menimbulkan syak wasangka dalam hati pasangan.
“Sebaiknya, jika hendak layari juga media sosial walaupun sudah berkahwin, kata laluannya perlu dikongsi bersama supaya masing-masing dapat memantau aktiviti pasangan dalam media sosial serta terhindar daripada melakukan maksiat.
“Bagi yang ketagih bermain gajet pula, cuba biasakan diri elakkan daripada memegang gajet dahulu apabila bangun tidur. Sebaliknya, setiap kali bangun pagi cuba ucap Alhamdulillah dan bersyukur dengan nikmat hidup Allah pinjamkan. Jangan jadikan gajet keutamaan.
“Kongsi apa yang dilihat atau digelakkan dalam media sosial supaya tidak menimbulkan salah faham pasangan, sebaliknya boleh menjadi perkara yang mengeratkan hubungan suami isteri,” katanya.
Kesimpulannya, suami isteri masing-masing mempunyai peranan dalam memastikan rumah tangga dibina sentiasa dalam rahmat Allah.
Tidak salah jika saling menegur sekiranya mendapati pasangan terlalu melebihkan perkara lain sehingga mengabaikan tanggungjawab.
Harus diingat, teknologi itu dicipta oleh manusia dan seharusnya manusia yang mengawal teknologi, bukan ‘dikawal’ oleh teknologi.
Tip guna media sosial, gajet
* Hindari media sosial berunsur ‘lagha’ dan lucah.
* Jangan bertegur sapa dengan bukan mahram jika tiada keperluan.
* Jangan terlalu ‘terbuka’ menceritakan kisah peribadi dalam media sosial.
* Gunakan media sosial untuk melakukan perkara menyeronokkan bersama pasangan.
* Tetapkan had masa melayari laman sosial dalam sehari.










