KUALA LUMPUR 28 Jan. – Sebanyak 5,295 unit beg tangan dan dompet tiruan bernilai lebih setengah juta dirampas dalam serbuan di tiga premis di pusat beli-belah di Jalan Gelugor, Pudu, di sini Khamis lalu.
Antara jenama barangan tiruan yang dirampas termasuk Louis Vuitton, Longchamp, Carlo Rino, Bonia dan Sembonia.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Low Swee Hon berkata, sebanyak tujuh anggota penguat kuasa menjalankan serbuan selepas menerima aduan daripada pemilik cap dagangan mengenai kegiatan penjualan barangan tiruan di tiga premis tersebut.
Menurutnya, tiga premis tersebut telah beroperasi kira-kira dua tahun dan dijadikan stor simpanan barang tiruan untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.
“Ketika serbuan, ketiga-tiga premis tersebut berkunci dan anggota penguat kuasa terpaksa memecahkan kunci pintu premis seterusnya menemukan longgokan barangan tiruan berkenaan.
“Kita juga telah merekodkan kenyataan daripada seorang lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an yang merupakan pemilik dan pekerja satu daripada premis yang diserbu.
Swee Hon memaklumkan, hasil siasatan juga mendapati satu daripada tiga premis tersebut pernah diserbu pada 19 Disember lalu namun masih berdegil dan menjalankan kegiatan sama.
“Dalam serbuan pertama terhadap premis dimiliki lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu, kita telah merampas sebanyak 1,400 unit barangan tiruan dengan nilai sitaan RM60,000.
“Kita sedang dalam proses melengkapkan siasatan dan meneruskan kepada pendakwaan terhadap kes pertama dan mereka akan berdepan hukuman lebih tinggi untuk kesalahan kedua,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.-UTUSAN ONLINE









