KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas 12 pertuduhan menerima rasuah dan terlibat pengubahan wang haram sembilan tahun lalu.
Abdul Azeez, 53, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.
Di hadapan Azura, Azeez mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd., Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah membantu syarikat pembinaan itu mendapatkan beberapa projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah secara rundingan terus dan tender terhad.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, No. 6, Jalan Tun Perak, City Centre dan Affin Bank Berhad, J-03-G, Blok J, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong pada antara 8 Disember 2010 hingga 10 April 2018.
Dalam pada itu di mahkamah sama abang Abdul Azeez, Datuk Abdul Latif, 61, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018 di Affin Bank yang sama.
Bagi kesemua kesalahan rasuah itu pertuduhan dikemukakan seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,0000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Sementara itu di hadapan Rozina, Abdul Azeez didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat buah syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Lembah Klang di sini antara tahun 2010 dan 2018.
Kesemua sembilan pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu pendakwaan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik menjadi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Ahmad Akram Gharib manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, M. Athimulan dan Hisyam Teh Poh Teik.
Abdul Azeez dibenarkan diikat jamin RM800,000 manakala Abdul Latif dibenarkan diikat jamin RM500,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Mac ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – K! ONLINE










