KANGAR 2 Jan. – Jabatan Kesihatan negeri tidak menggalakkan orang ramai menghisap rokok elektronik atau vape di premis-premis makanan atau tempat yang digazetkan sebagai kawasan larangan merokok meskipun peraturan mengenainya masih belum diputuskan.
Pengarahnya, Dr. Sirajuddin Hashim berkata, jika pengunjung ingin menggunakan rokok elektronik, mereka juga perlu melakukan perkara sama seperti perokok lain iaitu berada sekurang-kurangnya tiga meter daripada kawasan kedai makan terbabit.
Katanya, hal demikian penting supaya tidak menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pelanggan lain.
“Meskipun tiada akta khusus yang diwartakan mengenai rokok elektronik tetapi kita sarankan agar mereka mengikut peraturan seperti perokok dan pengguna tembakau yang lain.
“Jika ingin menggunakan rokok elektronik, mereka mesti menjauhi dari permis makanan sekurang-kurangnya tiga meter jauhnya agar ia tidak menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pengunjung lain,” katanya ketika ditemui selepas melakukan operasi larangan merokok di tempat awam di sekitar daerah ini, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa rokok elektronik dan shisha tidak termasuk dalam peraturan larangan merokok di semua premis makanan yang akan dikuatkuasakan pada 1 Januari ini.
Beliau dilaporkan berkata, setakat ini, kementerian masih dalam peringkat perbincangan untuk menguatkuasakan peraturan melibatkan vape dan shisha dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Dr. Sirajuddin berkata, sepanjang operasi terbabit dijalankan pihaknya turut terserempak dengan pengguna rokok elektronik namun amaran lisan sudah diberikan kepada mereka.
Sementara itu, ketika memaklumkan mengenai operasi hari ini, beliau berkata, sebanyak empat buah kedai makanan telah diberikan notis amaran kerana gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok di premis masing-masing.
Katanya, secara keseluruhan sebanyak 20 buah premis makanan diperiksa dalam operasi kira-kira dua jam itu dengan rata-rata kedai terbabit mengikut peraturan ditetapkan.
“Antara alasan yang diberikan ialah mereka tidak tahu terdapatnya arahan khusus daripada Jabatan Kesihatan mengenai saiz papan tanda larangan merokok iaitu berukuran 50 sentimeter x 40 sentimeter.
“Malah ada pemilik premis memberikan alasan papan tanda yang ditempah masih belum siap sehingga ia tidak boleh dipasang. Kesemua empat pemilik premis berkenaan diberikan notis amaran dan dalam tempoh enam bulan mereka mesti memasang papan tanda terbabit di premis bersesuaian mengikut Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya.- UTUSAN ONLINE









