ZAMAN pendudukan Jepun di Tanah Melayu mencatat sejarah apabila akhbar Utusan Melayu buat pertama kalinya tidak diterbitkan pada 15 Februari 1942 apabila pihak British menyerah diri di Singapura.
Menurut A. Samad Ismail melalui rencana bertajuk “Hubungan Persuratkhabaran Dengan Pemerintah” yang di siarkan dalam Mastika terbitan Ogos 1957, akhbar Utusan Melayu hilang wataknya sebagai akhbar kebangsaan yang tulen semasa pendudukan Jepun.
“Akhirnya Berita Malai menggantikan kedua-duanya Utusan Melayu dan Warta Malaya,” tulis A. Samad Ismail.
Pada 16 Februari tahun itu, Utusan Melayu diterbitkan semula atas desakan pihak Jepun tetapi bergabung dengan Warta Malaya. Namun begitu, pihak Jepun menggunakan nama Berita Malai (Malai Sinbun) dalam tulisan jawi dan rumi semata-mata khusus untuk tujuan propaganda pihak Jepun.
Menurut Mazlan Nordin dalam bukunya Tokoh dan Akhbar Melayu (2009) terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan, dua faktor mempengaruhi peranan Berita Malai pada masa itu iaitu pertama ia diterbitkan di Cecil Street Singapura di bangunan yang menerbitkan akhbar Inggeris terkemuka Straits Times, dengan kelengkapan press yang paling moden.
Kedua, kehadiran pengarang generasi muda waktu itu. Gabungan wartawan angkatan lama dan angkatan baharu dalam Jabatan Pengarang mengendalikan Berita Malai dan majalah bulanannya Semangat Asia telah mencorakkan akhbar tersebut sebagai akhbar yang mempunyai indentiti tersendiri.
“Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhamad dan A. Samad Ismail berkhidmat dengan Berita Malai pada masa itu di samping beberapa wartawan muda yang pernah bergerak dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebelum perang” (Mazlan Nordin 2009:31).
Abdul Rahim Kajai yang menjadi Pengarang Berita Malai meneruskan tradisi meniupkan semangat kebangkitan bangsa Melayu selain memupuk kegiatan kesusasteraan di Nusantara.
“Isu-isu kepentingan bangsa Melayu yang tadinya popular pada zaman sebelum perang seperti soal Tanah Melayu, kaum tua dan kaum muda, hak Melayu dalam hubungannya dengan hak kaum Cina dan India, takrif Melayu yang menjadi platform Kajai sebelum perang semuanya timbul dalam masa tiga tahun setengah pendudukan Jepun di Singapura dan Tanah Melayu.
“Berita Malai penuh dengan anjuran kepada bangsa Melayu supaya berdikari, supaya patriotik mencintai bangsa dan negara, supaya mempercayai diri sendiri, supaya mengejar kemajuan untuk menjadi bangsa yang besar dan Indonesia dirujukkan sebagai contoh, Tentunya semua anjuran ini diserapi dengan propaganda untuk kepentingan Jepun” (Mazlan Nordin: 2009: 32).










