UTUSAN Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau UMNO tidak dapat dipisahkan, ibarat aur dan tebing.
Itulah kata-kata yang paling tepat pernah digambarkan oleh Bapa Kemerdekaan Negara yang juga Yang Dipertua UMNO kedua, Tunku Abdul Rahman semasa merasmikan bangunan tambahan Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur pada 9 Februari 1965.
“Sebenarnya kalau UMNO tidak dapat dipisahkan dari perjuangan dan kebangkitan Orang-Orang Melayu maka Utusan Melayu juga tidak dapat diketepikan kerana dari hasil yang dikemukakan oleh Utusan inilah maka tertubuhnya UMNO yang besar itu.
“Kalau UMNO merupakan pertubuhan politik orang-orang Melayu yang terbesar maka Utusan merupakan lidah orang Melayu,” ucap Tunku Abdul Rahman.
Malah, pengasas utama UMNO, Datuk Onn pernah menyebut bahawa UMNO tertubuh atas seruan Utusan Melayu. Malah hakikatnya UMNO ialah cetusan cita-cita yang telah dipancarkan oleh Utusan Melayu dalam tahun 1946.
Piagam UMNO
Buat pertama kalinya, Piagam UMNO telah dibentangkan dalam Mesyuarat Penubuhan UMNO di Johor Bharu pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bharu, Johor.
Pemangku Raja Johor, Tengku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim telah berangkat mencemar duli merasmikan upacara penubuhan UMNO.
Seramai 29 orang wakil daripada tiap-tiap badan gabungan yang telah menandatangani pengesahan Piagam UMNO sebagai tanda bermulanya perjuangan UMNO.
Semasa berlangsungnya kongres di Istana Besar Johor Bharu itu Datuk Onn telah dipilih dengan sebulat suara menjadi Yang Dipertua UMNO Malaya yang pertama manakala Setiausaha Agung disandang oleh Datuk Panglima Bukit Gantang, Perak.
Mesyuarat Agung Kali Kedua yang diadakan di Ipoh pada 29 dan 30 Jun 1947 mencatat sejarah apabila bendera cadangan daripada Ikatan Setia Kampung Bharu, Kuala Lumpur dipilih sebagai bendera rasmi UMNO.
Bendera yang dicadangkan itu ialah bercorak jalur merah dan putih (merah di atas putih) dengan keris terhunus warna hijau di dalam bulatan kuning di tengah-tengah hulu keris menunjukkan ke arah penjuru atas kiri.
Bagaimanapun, Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) dan Ahmad Boestamam yang mewakili Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) tidak puas hati apabila cadangan mereka supaya menggunakan bendera Sang Saka Putih seperti Indonesia ditolak. Oleh kerana cadangan itu ditolak oleh me- syuarat, Ishak telah mengetuai perwakilannya keluar UMNO.
Kuasa Akhbar
Menurut Mohd. Safar Hasim dalam bukunya Akhbar dan Kuasa: Perkembangan Sistem Akhbar di Malaysia Sejak 1806 (1996), seruan Utusan Melayu supaya umat Melayu bersatu dan tertubuhnya UMNO merupakan peranan gemilang yang pernah dimainkan oleh akhbar di negara ini.
“Inilah kuasa akhbar. Ia telah dapat merubah fikiran orang Melayu daripada pandangan yang positif terhadap rancangan Malayan Union itu dan menunjukkan bahawa rancangan itu sebenarnya merugikan Melayu” (Mohd. Safar Hasim 1996:216).










