GEORGE TOWN – Usaha selaman dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi membawa naik kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda CX5 yang terjunam ke dalam laut di Jambatan Pulau Pinang dijangka akan dimulakan petang ini.
Pengarah Koordinasi SAR, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengenal pasti keadaan air laut di perairan berkenaan.
“Pasukan penyelam akan ke tempat SUV itu berada pada pukul 2 petang ini dan dijangka membuat selaman pada pukul 3 petang kerana mengikut jadual pasang surut air laut yang menunjukkan pada masa tersebut dijangka keadaan air tenang.
“Taklimat di Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban kepada penyelam daripada Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan dilakukan pukul 10 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Menurutnya, pada operasi hari kedua semalam, SUV berkenaan telah ditemui pasukan penyelam kira-kira pukul 4 petang pada dasar laut.
“SUV itu berjaya dikesan dengan bantuan alat pengesan sonar awam milik syarikat Marine Science Technology (MAST).
“Usaha membawa naik SUV tersebut dilakukan sebanyak tiga kali menggunakan kren, tetapi gagal kerana arus deras di antara 7 ke 10 knot,” katanya.
Semalam, SUV Mazda CX5 dipandu seorang pelajar kolej, Moey Yun Peng, 20, ditemui pasukan penyelam pada dasar lautan berdekatan tiang 34 Jambatan Pulau Pinang, tidak jauh dari lokasi ia terjatuh.
Terdahulu, SUV berkenaan dilaporkan terjunam ke dalam laut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Vios di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah Perai dekat sini kira-kira pukul 2.45 pagi kelmarin. – K! ONLINE
View this post on InstagramA post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online) on










