Usah polemikkan isu beri kontrak kerajaan kepada ketua bahagian, cawangan Bersatu  - Utusan Malaysia

Usah polemikkan isu beri kontrak kerajaan kepada ketua bahagian, cawangan Bersatu 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANTING – Mana-mana pihak tidak perlu mempolemikkan cadangan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Rashid Abdul Rahman agar ketua-ketua bahagian dan cawangan parti itu diberikan projek kerajaan.

Perkara itu ditegaskan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya yang mana beliau menyifatkan cadangan tersebut hanyalah pandangan yang dilontarkan Rashid dan bukannya keputusan atau ketetapan yang dipersetujui sebulat suara oleh parti itu. 

“Bersatu merupakan parti yang mengamalkan prinsip terbuka, menerima pelbagai pandangan daripada semua pihak. Justeru semua pihak bebas mengemukakan sebarang cadangan yang mereka rasakan perlu. 

“Bagaimanapun, tidak semestinya cadangan yang dibuat itu diterima serta diluluskan oleh parti sebagai satu ketetapan. Justeru, saya fikir tidak perlu perbesar-besarkan apa yang dinyatakan oleh Tan Sri Rashid itu,” katanya di sini malam tadi. 

Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Rashid semasa menyampaikan ucapan penggulungan sempena perhimpunan agung ke-2 Bersatu Ahad lalu yang mencadangkan peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dikembalikan supaya sistem itu memanfaatkan ketua cawangan dan bahagian parti selain diberikan semula kepada masyarakat setempat. 

Menurutnya, kaedah itu berupaya memastikan ketua bahagian dan cawangan mempunyai peruntukan mencukupi untuk menjalankan program di kawasan mereka sekaligus meraih sokongan pengundi. 

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar turut menegaskan pendiriannya yang menyokong penuh cadangan pemilihan jawatan kepimpinan Bersatu mengikut sistem satu ahli satu undi daripada sistem undi perwakilan. 

Katanya, sistem satu ahli satu undi diyakini lebih telus, demokratik sekaligus menggalakan mana-mana pemimpin parti itu yang ingin bertanding lebih bekerja keras dan menunjukkan disiplin serta kemampuan mereka dalam kepimpinan. 

“Ahli-ahli yang mengangkat pemimpin yang mereka rasakan layak. Jadi adalah lebih baik diserahkan kepada ahli sahaja hak untuk menentukan kepimpinan parti,” ujarnya. 

Terdahulu, Abu Bakar hadir memeriahkan majlis sambutan ambang tahun baru 2019 sempena penutup Karnival Usahawan Seribu Seri 2018 anjuran Sikandi Bersatu bersama rakyat di Pantai Morib di sini malam ini. 

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin dan Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN