UMNO pertikai denda Neon Countdown 2019 cuma RM2,500 - Utusan Malaysia

UMNO pertikai denda Neon Countdown 2019 cuma RM2,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – UMNO Bahagian Port Dickson mempertikaikan kompaun sebanyak RM2,500 yang dikenakan pihak berkuasa tempatan keatas penganjur pesta sambutan tahun baharu, Neon Countdown 2019 dekat sini baru-baru ini.

Ketuanya, Mohd. Faizal Ramli berkata, kompaun yang dikenakan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) ke atas pihak penganjur tidak setimpal dengan kesan buruk acara berkenaan kepada masyarakat.

“Kompaun hanya sebanyak RM2,500. Denda menghisap rokok dalam restoran lebih tinggi berbanding yang dikenakan terhadap penganjur,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

MPPD sebelum ini mendakwa tidak mengeluarkan kelulusan bagi penganjuran program Neon Countdown 2019 dan telah mengenakan kompaun keatas penganjurnya.

Acara itu mendapat bantahan masyarakat setempat kerana melibatkan aktiviti tidak bermoral termasuk minum arak dan penyalahgunaan dadah.

Kerajaan bermula 1 Januari lalu menetapkan denda menghisap rokok dalam premis makanan tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Sementara itu, Mohd. Faizal berkata, beliau kesal ada pihak cuba menabur fitnah keatas UMNO dengan mengaitkan program Neon Countdown 2019 dengan parti itu.

Tegas beliau, dakwaan kononnya pemimpin UMNO terlibat dalam kerja-kerja mengutip bayaran tempat letak kenderaan sambutan itu tidak benar. 

“Ada fitnah ‘orang kuat’ UMNO menjaga tempat letak kereta Neon Countdown 2019. Kami menafikan tuduhan itu. UMNO sendiri tidak tahu mengenai program itu,” katanya.

Mohd. Faizal seterusnya mempersoalkan pihak yang meluluskan sambutan tersebut kerana ia jelas bertentangan dengan nilai moral masyarakat setempat. 

“Acara itu boleh dihentikan awal dan tidak perlu tunggu keesokan hari untuk bertindak iaitu selepas ia dikecam orang ramai,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN