ISKANDAR PUTERI 29 Jan. – UEM Sunrise Bhd. (UEM Sunrise), pemaju induk Iskandar Puteri komited untuk membangunkan Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) dengan pembinaan 4,752 buah rumah di Gerbang Nusajaya di sini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, projek membabitkan pembinaan kediaman jenis rumah teres bertingkat, pangsapuri serta komersial dikenali rumah mampu biaya Gerbang Nusantara.
Menurutnya, projek itu akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat bermula pada tahun ini merangkumi 965 buah rumah berharga RM42,000 sebuah, 1,935 buah (RM80,000 sebuah), 1,610 buah (RM150,000 sebuah) dan 242 kedai kos sederhana rendah (RM200,000 sebuah).
“UEM Sunrise sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri dalam memastikan pemilikan rumah untuk setiap lapisan masyarakat.
“Berlandaskan pengalaman luas dalam industri pembinaan bandar, kediaman dan pembangunan bersepadu, kami komited dalam membina rumah mampu biaya yang berkualiti dan kondusif untuk keselesaan dan manfaat rakyat,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci RMBJ Pembangunan Denai Nusantara yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian di sini hari ini.
Dalam majlis itu, UEM Sunrise mengumumkan penyerahan 1,109 unit RMBJ merangkumi lima blok 12 tingkat yang dijual dengan harga RM150,000 sebuah dan 108 lot kedai setingkat pelbagai jenis perniagaan.
Denai Nusantara merupakan rumah mampu biaya yang berkualiti dan terletak di lokasi strategik, bersebelahan dengan kawasan industri di Gerbang Nusajaya di sini dan terdapat akses kepada pelbagai peluang ekonomi.
Anwar Syahrin berkata, UEM Sunrise dengan kerjasama pemaju swasta, Denia Development Sdn. Bhd. (Denia) berjaya menyiapkan sejumlah 4,839 buah perumahan mampu biaya di Taman Nusantara dan Nusantara Prima sehingga Oktober 2018.
Tambahnya, pada tahun 2016, UEM Sunrise juga telah membina sejumlah 351 buah rumah mampu biaya termasuk kedai kos sederhana di Bayu Nusantara yang kini sudah didiami selain membangunkan 201 buah rumah PR1MA di Nusantara Prima yang telah siap dan diserahkan pada April 2017 serta 333 buah rumah teres dua tingkat kini sedang dalam pembinaan di lokasi sama.









