ABU DHABI 24 Jan. – Kapten Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ismail Matar percaya, pasukannya akan menyerlahkan kualiti sebenar apabila berdepan juara bertahan, Australia pada suku akhir Piala Asia esok.
Tuan rumah melangkah ke peringkat lapan terbaik selepas menyingkirkan Kyrgyzstan 3-2 dalam pertarungan yang berlarutan ke masa tambahan, Isnin lalu.
UAE mendahului dua kali di Bandar Sukan Zayed, namun membenarkan lawan menyamakan kedudukan pada waktu kecederaan, sekali gus memaksa saingan diheret ke masa tambahan.
Bagaimanapun Ismail percaya, suku akhir esok akan menyerlahkan kehebatan sebenar pasukannya yang dianggap antara pilihan pada edisi kali ini sekali pun tidak pernah bergelar juara.
“Apabila anda bermain dalam perlawanan sengit yang peluangnya adalah 50-50, anda akan menunjukkan personaliti sebenar.
“Anda kena menyerang dan cuba memenangi perlawanan apabila tekanan diletakkan di bahu.
“Ia tidak mudah, malah kadang kala pemain buntu bagaimana hendak bermain seperti biasa dalam keadaan tertekan.
“Bagaimanapun selepas berdepan ujian hebat Kyrgyzstan, saya percaya kami mampu menampilkan permainan lebih baik menentang Australia,” katanya.
UAE masih tidak kalah dalam kempen kali ini selepas seri 1-1 dengan Bahrain dalam aksi pembukaan, sebelum menewaskan India 2-0 dan seri 1-1 menentang Thailand.
Sementara itu, dalam satu lagi saingan suku akhir, juara dua kali, Korea Selatan, berikrar akan memberi persembahan lebih baik apabila menentang Qatar esok selepas bergelut dengan prestasi di awal saingan.
Bintang tengah Tottenham, Son Heung-min yakin, Taeguk Warriors sudah bersedia menamatkan kemarau 59 tahun.
“Kami banyak menentang pasukan yang suka bermain secara bertahan dan melancarkan serangan balas, jadi keadaan seperti itu tidak mudah.
“Apa pun, kami bersedia untuk memberi persembahan lebih baik di suku akhir,” katanya. – AGENSI











