UAE bimbang ancaman Qatar - Utusan Malaysia

UAE bimbang ancaman Qatar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI 28 Jan. – Jurulatih Emiriah Arab Bersatu (UAE), Alberto Zaccheroni cuba bermain psikologi, menjelang separuh akhir Piala Asia, esok apabila menyatakan bahawa Qatar adalah pasukan pilihan untuk memenangi pertemuan tersebut.

Warga Itali itu, yang menerajui Jepun mencipta rekod merangkul gela­ran keempat pada 2011, cuba untuk meng­a­lihkan tekanan yang terpaksa digalas para pemainnya, sebelum pertembungan yang menjadi tumpuan menentang tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar di Abu Dhabi.

“Mereka merupakan sebuah pasukan handal yang masih belum dibolosi sepanjang pertan­dingan

ALBERTO ZACCHERONI
ALBERTO ZACCHERONI 

ini. Keputusan mereka sebelum Piala Asia bermula juga cemerlang. Qatar mempamerkan kemantapan dalam setiap posisi, dan mereka juga memiliki pemain yang berbahaya apabila beraksi secara individu.

“Mereka telah bermain bersama untuk tempoh yang lama. Kestabilan yang dimiliki menjadi kekuatan pasukan mereka,” kata Zaccheroni, yang me­nyaksikan skuad bimbingannya mengejutkan juara bertahan, Australia 1-0 pada suku akhir.

Kali terakhir UAE menjejakkan kaki ke perlawanan akhir ialah sewaktu menjadi tuan rumah Piala Asia 1996 dan mara ke separuh akhir di Australia, empat tahun lalu.

Zaccheroni berjanji skuad bimbingannya akan cuba memperbaiki pencapaian 2015, walaupun dia kehilangan dua tonggak, Khalifa Mubarak serta Mohamed Ahmed yang terpaksa diketepikan akibat kece­deraan dan perlu menjalani pembedahan.

“Para pemain berada dalam keadaan cergas serta bermotivasi tinggi dan kesemua mereka sedar betapa pentingnya perlawanan ini. Kami memang terpaksa berdepan beberapa kesukaran ketika aksi di peringkat kumpulan dan pusingan 16 terbaik.

“Tetapi kami mula berkembang sepanjang pertandingan ini dan persembahan kami menentang Australia telah mening­katkan keyakinan,” kata Zaccheroni yang mana pasukannya menerima manfaat keputusan kontroversi sepakan penalti pada lewat permainan menentang Bahrain dalam aksi pembukaan dan Kyrgyzstan di pe­ringkat kalah mati. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN