KUALA TERENGGANU 21 Jan. – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu bernilai RM500,000 pada Mei tahun lalu.
Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab. Latif di sini hari ini.
Suspek bergelar Datuk berusia 54 tahun itu ditahan ketika dipanggil memberi keterangan berhubung kes terbabit di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Terengganu di sini pukul 5 petang semalam.
Suspek dikatakan mengemukakan tuntutan palsu kepada pejabat daerah dan tanah di sebuah daerah bagi perbelanjaan 32 program yang dijalankan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Bagaimanapun, program itu dipercayai tidak dilaksanakan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE









