KUALA LUMPUR 29 Jan. – Tujuh perokok beroleh kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang mewartakan semua tempat makan sebagai tempat larangan merokok bermula 1 Januari lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Azizah Nawawi memutuskan demikian di kamar hakim di sini yang dihadiri peguam-peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Datuk M. Reza Hassan bagi pihak perokok selaku pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili Kementerian Kesihatan.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan untuk menggantung penguatkuasaan larangan itu atas alasan mahkamah tidak berhak menggantung mana-mana keputusan membabitkan operasi perundangan. Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 12 Februari ini.
Dalam permohonan yang difailkan pada 31 Disember tahun lalu, tujuh pemohon terbabit, Mohd. Hanizam Yunus, 52, Zulkifli Mohamad, 56, Mohd. Laisani Dollah, 46, Mohd. Sufian Awaludin, 35, Ridzuan Muhammad Noor, 52, Mohd. Yazid Mohd. Yunus, 48, serta Yuri Azhar Abdollah, 39, memfailkan permohonan itu atas kapasiti peribadi dan bagi pihak semua perokok yang menyokong usaha kumpulan, Pro-Tem Pertahankan Hak Perokok.
Kesemua pemohon mendakwa larangan merokok itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana merokok bukan suatu aktiviti jenayah dan atau diharamkan di negara ini dan sehubungan itu, aktiviti tersebut adalah sah dari segi undang-undang.
Mereka juga mendakwa, perokok mempunyai hak yang sama rata dengan golongan yang tidak merokok untuk mengunjungi dan menghabiskan masa mereka di premis-premis makanan seberapa lama yang mereka inginkan.
Pemohon juga mendakwa larangan merokok itu adalah bertentangan dengan peruntukan dan prinsip undang-undang kerana responden tidak pernah dilaporkan berjumpa dengan perokok atau pihak-pihak berkepentingan bagi membincangkan penguatkuasaan larangan tersebut, selain bersifat tidak munasabah dan tidak adil.
Sehubungan itu, pihak pemohon memohon suatu perintah untuk membatalkan keputusan pihak responden menguatkuasakan larangan tersebut selain deklarasi bahawa keputusan penguatkuasaan itu adalah suatu tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.











