KANGAR 28 Jan. – Seorang warga emas, Mohd Shuib Idrus, 61, dari Kampung Seri Kesinai Padang Besar, hanya mampu termenung, hatinya tidak tenang memikirkan nasibnya dan isteri selepas ini, apabila mereka bakal diusir keluar dari kawasan yang didiami sejak 50 tahun itu.
Selain Mohd. Shuib, kira-kira 15 keluarga dari kampung berkenaan juga mengalami nasib sama apabila mereka diarahkan mengosongkan kediaman yang didakwa dibina di atas tanah milik seorang individu itu, dalam tempoh enam bulan ini.
Rumah di kawasan berkenaan dibina sejak 1970-an, difahamkan di atas tanah kerajaan sehinggalah ada seorang individu datang memaklumkan bahawa kawasan seluas 1.4 hektar itu adalah miliknya iaitu pada 2005.
Pada tahun lalu, individu berkenaan membawa isu berkenaan ke mahkamah dan keputusannya, mereka perlu mengosongkan rumah di kawasan itu bermula bulan ini sehingga Jun depan.
“Saya tidak tahu hendak berteduh di mana selepas ini. Kami bukan orang senang, ini (rumah) ialah satu-satunya harta kami. Di penghujung usia ini, pak cik berharap dapat berteduh di rumah ini.
“Saya harap kerajaan negeri dapat campur tangan dalam isu ini dan kalau kami tetap juga diarahkan keluar, gantilah dengan kediaman baharu kerana kami memang tidak mampu dan tidak mempunyai tanah lain untuk membina rumah,” kata Mohd. Shuib dalam nada sebak ketika ditemui di sini hari ini.
Sebelum itu, penduduk Kampung Seri Kesinai hadir ke Pejabat Menteri Besar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini bagi menyerahkan memorandum meminta kerajaan negeri membantu mereka dalam isu ini.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Azmi Abd. Rahman,40, berkata, pihaknya meminta Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man menyiasat bagaimana tanah yang pada satu ketika dahulu dikatakan milik kerajaan kini jatuh ke tangan individu lain.
Katanya, kawasan tersebut sudah dihuni oleh empat generasi sejak 70-an dan sekiranya tanah itu diambil kembali, bagaimana nasib penduduk yang berkemungkinan terpaksa merempat.
“Kami harap sangat kerajaan negeri dapat membantu kami dan jangan biarkan kami merempat di tanah air sendiri,” katanya.
Nor Hayati Ahmad,52, pula berkata, dia hanya membantu anaknya sulungnya berniaga kecil-kecil dan hasil pendapatan itu cukup untuk mereka menampung kehidupan seharian.
“Selama ini, biar pun kadang-kala tidak cukup makan tapi kami masih ada tempat berteduh. Selepas ini, tidak tahu lah bagaimana. Tolonglah jangan usir kami,” katanya.- UTUSAN ONLINE









