Tok Pa tak ambil wang pilihan raya - Utusan Malaysia

Tok Pa tak ambil wang pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS 16 Jan. – Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed tidak mengambil wang peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk diri serta keluarganya seperti mana yang didakwa sesetengah pihak.

Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hanafi Mamat berkata, isu tersebut tidak timbul kerana semua peruntukan disalurkan melalui akaun rasmi parti itu.

Beliau berkata, malah mengikut rekod, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak memegang atau menyimpan wang daripada peruntukan tersebut.

“Setahu saya, Tok Pa (Mustapa) tidak mengambil apa-apa wang peruntukan pilihan raya untuk diri dan keluarga beliau sepertimana didakwa sesetengah pihak, selain dari tujuan gerakan pilihan raya.

“Apa-apa peruntukan yang diterima daripada mana-mana sumber adalah melalui akaun UMNO negeri, agihan dan perbelanjaan adalah mengikut arahan dan keperluan semasa,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Hanafi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mustapa baru-baru ini yang memohon supaya merujuk kepada beliau dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berhubung dakwaan yang tersebar di laman sosial baru-baru ini.

Mustapa yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 26 Oktober lalu baru-baru ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau telah melarikan sebahagian peruntukan UMNO negeri ini dan kemudian mengagihkannya kepada isteri serta anak.

Hanafi berkata, pengurusan dan pentadbiran kewangan UMNO negeri ini diuruskan dengan amat teliti malah setiap transaksi yang berlaku direkodkan.

“Mengikut rekod beliau tidak memegang atau menyimpan apa-apa wang daripada peruntukan ini, sebaliknya mengarahkan peruntukan itu diagih dan dibelanjakan untuk tujuan pilihan raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×