TNB ILSAS diiktiraf pusat latihan ILM UK - Utusan Malaysia

TNB ILSAS diiktiraf pusat latihan ILM UK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jan. – TNB Integrated Learning Solution (ILSAS), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) diiktiraf Institute of Leadership & Management (ILM) UK Approved Centre di Malaysia sebagai pusat latihan untuk kursus-kursus berkaitan kepemimpinan dan pengurusan.

Menurut TNB, pengiktirafan tersebut meningkatkan nilai tambah dan status agensi latihan TNB itu di persada antarabangsa kerana pada 2017, ILSAS telah menerima pentauliahan daripada satu lagi badan antarabangsa, City & Guilds bagi program latihan teknikal.

Katanya, pengiktirafan daripada kedua-dua badan luar negara itu juga membuktikan kualiti produk ILSAS kini mencapai taraf antarabangsa dan berkelas dunia.

“Ia juga mengukuhkan ILSAS sebagai institusi latihan yang dapat melahirkan pekerja berkemahiran dan berinovasi untuk keperluan modal insan negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pelancaran ILSAS sebagai pusat latihan ILM-UK di Malaysia disempurnakan pada 9 Januari lalu dengan ILM diwakili Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Jualan Antarabangsa, Becky James manakala ILSAS oleh Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Abdul Aziz Jaafar.

Sempena pelancaran itu juga, 26 peserta menjadi kumpulan pertama untuk menerima sijil penyertaan program Understanding The Leader In You yang diiktiraf ILM UK.

Dalam pembangunan modal insan, ILSAS melatih secara purata lebih 50,000 peserta setahun di pusat latihan induknya di Bangi, Selangor dan cawangannya di Malim Nawar, Perak dan Kulai, Johor. Setiap tahun juga, sebanyak 50 pelatih dari luar negara mendapat latihan di ILSAS.

Sejak 1978 lagi, ILSAS telah membangunkan tenaga mahir di bawah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan menawarkan pelbagai kursus teknikal termasuk Program Kekompetenan Penjaga Elektrik (Chargemen), Program Jurutera Elektrik Kompeten (Competent Engineer) dan Program Kekompetenan Pencantum (Cabel Jointers). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN