PUTRAJAYA 6 Jan. – Satu mekanisme baharu akan digerakkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam usaha menangani isu lambakan premis hotel haram di negara ini
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, langkah itu akan dilakukan sekiranya isu berkenaan didapati sukar untuk dikekang.
Menurut beliau, pihaknya pada masa sama tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha premis seumpama itu.

“Jika benar mereka ini melakukan perkara ini dan benar lambakan premis haram itu wujud, maka pihak berkaitan perlu menyerahkan senarai itu kepada kementerian dan pihak berkuasa tempatan untuk diambil tindakan.
“Jika wujud maka saya akan menggerakkan agensi sedia ada untuk berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini berhubung isu peningkatan hotel-hotel haram di sekitar Georgetown yang merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menurut Mohamaddin, pihaknya akan melaksanakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengesan kewujudan premis-premis haram itu secara lebih kerap.
Beliau turut menyarankan agar orang ramai melaporkan segera kepada PBT sekiranya wujud premis haram terbabit di kawasan mereka.








