Timbalan Presiden belum terima permohonan sertai semula UMNO - Utusan Malaysia

Timbalan Presiden belum terima permohonan sertai semula UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – “Saya secara peribadi belum dan tidak ada menerima apa-apa permohonan daripada Ahli Parlimen UMNO yang telah keluar parti untuk menyertai semula UMNO,” kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO berkata, parti itu bagaimanapun sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang ingin menyertai dan menjadi ahli UMNO.

Jelas beliau, mereka yang mahu menjadi ahli UMNO namun perlu mematuhi syarat dan proses sedia ada parti itu.

“Syarat dan proses untuk menjadi ahli (UMNO) adalah tertakluk kepada seperti apa yang diperuntukkan oleh perlembagaan dan peraturan pentadbiran parti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada 14 Disember lalu, seramai enam Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) daripada UMNO keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Mereka termasuk Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Tiga lagi ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Media semalam melaporkan, enam Ahli Parlimen BN yang mengumumkan keluar UMNO terbabit didakwa akan memohon kembali sebagai ahli parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Ahli Parlimen Mersing, Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Ahli Parlimen Larut, Ahli Parlimen Sabak Bernam dan Ahli Parlimen Tanah Merah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×