Tiga termasuk seorang wanita direman siasat kes rasuah dan tuntutan palsu RM1.8 juta - Utusan Malaysia

Tiga termasuk seorang wanita direman siasat kes rasuah dan tuntutan palsu RM1.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Tiga individu termasuk dua pengarah syarikat dan seorang ejen insuran wanita ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Perintah reman sehingga Jumaat ini terhadap pengarah syarikat bergelar Datuk berusia 44 tahun, pengarah syarikat berusia 51 tahun dan  ejen insuran berusia 29 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin  di Mahkamah Majistret di sini.

Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketiga-tiga individu itu tiba di Mahkamah Majistret dengan berpakaian lokap SPRM dengan tangan bergari pada pukul 9.10 pagi.

Kosmo! Online semalam melaporkan, ketiga-tiga mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan petang semalam.

Menurut sumber, mereka disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek juga disyaki terlibat dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN