TAWAU 17 Jan. – Tidak sampai 24 jam selepas mereka memecah masuk sebuah kedai serbaneka di 1Arena dan mencuri 31 jenis barangan semalam, tiga lelaki berusia antara 26 hingga 46 tahun ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar daerah Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata dalam serbuan dilakukan sepasukan polis antara pukul 2.15 pagi hingga 6.30 pagi, suspek pertama ditahan di Jalan Bunga dan polis merampas daripadanya sarung tangan hitam, sarung tangan besi, topi, satu set alat pemutar skru, segulung kabel USB dan satu paket plastik dadah jenis syabu (0.3 gram).
“Suspek kedua ditahan pada pukul 5.40 pagi di sebuah bilik sewa, di Batu 3 Jalan Apas dan wang tunai bernilai RM409, power bank, sehelai topeng mulut dan sebuah telefon bimbit jenama Oppo warna biru dirampas daripadanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya suspek ketiga pula ditahan di Kampung Tinagat Batu 6, Jalan Tinagat di sini hasil siasatan ke atas tangkapan suspek pertama dan kedua.
Dalam pada itu, Fadil berkata kesemua suspek yang dipercayai memiliki rekod kesalahan lampau dan positif dadah jenis syabu kini direman dari 17 hingga 20 Jan ini untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, seorang penyelia kedai tampil membuat laporan polis menyatakan terdapat dua kotak kosong di hadapan kedai dan pintu pejabat berada dalam keadaan terbuka pada Rabu kira-kira jam 9.30 pagi.
Penyelia bersama staf lain membuat pemeriksaan dan mendapati 31 jenis barang telah dicuri dengan suspek dipercayai masuk dengan mengumpil pintu cermin premis dan keluar melalui pintu sama. – BERNAMA









