KUALA LUMPUR 1 Jan. – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tidak teragak-agak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika pemberian kontrak kerajaan atau jawatan kepada ketua-ketua cawangan dan bahagian parti itu dilakukan menggunakan saluran yang salah.
Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamuddin berkata, pihaknya tidak gentar untuk menjadi badan pendesak pertama dalam parti bagi memastikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersih daripada perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.
“Buat masa ini perkara itu baharu diusulkan dalam ucapan dan kami telah pun mengecam dalam sidang akhbar lalu.
“Pemberian kontrak yang sebenar rasanya belum lagi ada tetapi jika didapati ada Armada tidak teragak-agak untuk membuat laporan SPRM walaupun melibatkan kepemimpinan tertinggi Bersatu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahad lalu, Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu mencadangkan ketua bahagian dan ketua cawangan mesti memperoleh lebih wang menerusi pemberian projek kerajaan. – UTUSAN ONLINE.










