ALOR SETAR 2 Jan. – Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pemiliknya tidak perlu ‘mengajar’ Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkaitan undang-undang dan peraturan, jika mereka awal-awal lagi melakukan rundingan ‘pintu belakang’ untuk mendapatkan pemain Lang Merah.
Badan induk bola sepak Kedah itu turut menyangkal dakwaan kononnya mereka tidak pandai menjaga kebajikan pemain, sedangkan Lang Merah sentiasa prihatin terhadap isu berkenaan termasuklah soal kebajikan Akhyar Rashid.

Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, JDT tidak perlu mencadangkan sesuatu yang seolah-olah mengikut peraturan sekiranya punca masalah dalam kes Akhyar adalah pelanggaran peraturan itu sendiri.
“Jika bercakap mengenai Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), kononnya tak perlu dan boleh runding tetapi tindakan awal (mereka) menawarkan pemain mengikut kaedah pintu belakang itu dah salah awal-awal lagi.
“Bagi KFA paling adil adalah CAS yang merupakan pihak ketiga tidak berkepentingan. Badan itu boleh pertimbangkan hujah kesemua pihak, baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), KFA, JDT, malah Akhyar sendiri.
“Biar CAS buat keputusan dan kita akan terima kerana itu sahaja tujuan KFA mahu gunakan saluran itu yang memang merupakan salah satu kaedah yang termaktub dalam peraturan,” katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan pelatih program Future Leader 2020 di sini, hari ini.
Mukhriz mengulas kenyataan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang tidak gentar dengan keputusan KFA mahu mengheret kes perpindahan Akhyar ke CAS atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam perkembangan sama, tegas Mukhriz, tujuan membawa isu berkenaan ke CAS adalah untuk memastikan tiada ‘double standard’ serta tiada pasukan lain yang menghadapi nasib sama seperti KFA.
“Kita tiada masalah Akhyar nak ke pasukan lain, tapi cuba bayangkan kalau perkara ini terlepas begitu sahaja, macam-macam lagi akan berlaku bukan hanya kepada KFA tapi pasukan lain,” ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Besar menambah, perkara berkenaan juga sebenarnya timbul bukan kerana disebabkan faktor Akhyar semata-mata, tetapi mahu membetulkan perkara pokok iaitu peraturan yang perlu diikuti semua pihak.
Katanya, KFA juga tidak yakin dengan sistem rayuan FAM sebelum ini yang hanya berbincang dengan Akhyar dan membuat keputusan tanpa melibatkan KFA.










